Amalan ini dilakukan berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim daripada Ibnu Abbas RA yang berkata: Raf’u al-Saut bilzikr Hina yansarifunnas minalmaktubah kana ‘ala ‘ahd al-Nabi SAW,
yang bermaksud: Meninggikan suara berzikir selepas orang ramai selesai daripada solat fardhu telahpun berlaku di zaman Nabi Muhammad SAW.
(Lihat Fath al-Bari, Bab al-Zikr Ba’d al-Solah, Jilid 2, Hal: 259 dan Syarh Sahih Muslim, Bab al-Zikr Ba’d al-Solah, Jilid 4-6, Hal:234-235)
Hadith-hadith yang menerangkan zikir-zikir yang sunat dilakukan pada setiap kali selepas solat fardhu ialah: Hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim Rahimahullah dari Abu Hurairah RA daripada Rasulullah SAW yang bermaksud:
Sesiapa yang mengucapkan tasbih (subhanallah) setiap tiga kali selepas solat sebanyak 33 kali, dan tahmid (alhamdulillah) sebanyak 33 kali, dan takbir (allahu akbar) sebanyak 33 kali, jadi kesemuanya 99 kali, kemudian menyebut: La ilaha illallah wahdahula syarikalah Lahulmulku walahulhamdu wahuwa ‘ala kulli syai`in qadir, untuk menggenapkannya sebanyak 100 kali, nescaya diampunkan dosa-dosanya walaupun umpama buih di lautan.
Dalam riwayat yang lain sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari, Ibnu Abbas RA mengatakan:
Yang bermaksud : Saya mengetahui tamatnya solat Rasulullah SAW dengan laungan takbir. (Fath al-Bari:2/259).
Hadith riwayat Ibn Abbas yang menerangkan perlakuan Rasulullah SAW dan huraian Ibn Hajar menunjukkan secara nyata bagaimana Rasulullah SAW dan para sahabat RA berzikir secara lantang dan berjemaah.
Al-Rabi’ telah mengkhabarkan kepada kami, dan berkata: al-Syafie telah mengkhabarkan kepada kami dan berkata: Ibn ‘Uyainah telah mengkhabarkan kepada kami, dari ‘Amr bin Dinar, dari Abu Ma’bad, dari Ibn ‘Abbas berkata: Adalah aku mengetahui selesainya solat Rasulullah SAW dengan takbir (zikir Allahu Akbar).
Al-Rabi’ telah mengkhabarkan kepada kami dan berkata: al-Syafie telah mengkhabarkan kepada kami, dan berkata: Ibrahim bin Muhammad telah mengkhabarkan kepada kami, dan berkata: telah menyampaikan hadith ini Musa bin ‘Uqbah, dari Abi al-Zubair, sesungguh beliau mendengar Abdullah bin Zubair berkata:
“Adalah Rasulullah SAW apabila memberi salam selepas solat, berkata dengan lafaz yang kuat: La ilaha illallahu wahdahula syarikalah lahulmulkuwalahul hamdu wahuwa ‘ala kulli syai`in qadir, wala haula wala quwwata illa billah, wala na’budu illa iyyahu, lahulni’mah, walahulfadhl, walahulthana`ul hasanu, la ilaha illallhu mukhlisina lahuddin walau karihal kafirun”.
Berkata al-Syafie: “Dan amalan ini harus untuk Imam dan tidak (harus) untuk makmum. Dan al-Syafie berkata lagi: “Dan mana-mana Imam yang berzikir dengan apa yang aku nyatakan, secara kuat, mahupun senyap, atau selain dari cara keduanya, maka ia adalah baik (hasan).
(petikan dari Kitab al-‘Umm: Jilid 1, Hal. 241, 242)
Kesimpulan dari kenyataan Imam Syafie Rahimahullah ialah:
1. Amalan berzikir dengan kuat harus untuk Imam dan tidak (harus) untuk makmum menurut pandangan Imam Syafie.
2. Imam Syafie berpendapat bahawa mana-mana Imam yang berzikir dengan apa yang beliau nyatakan, sama ada secara kuat, mahupun senyap, atau selain dari cara keduanya, maka ia adalah baik (hasan).
Pandangan Imam al-Nawawi terhadap hadith Ibn ‘Abbas:
Imam al-Nawawi Rahimahullah berkata: Ini dalil terhadap apa yang dipegang oleh sebahagian ulama Salaf iaitu disunatkan meninggikan suara dengan zikir al-takbir (Allahu akbar) dan zikir-zikir lain selepas solat fardhu. Manakala ulama mutaakhirin yang turut menghukumkannya sunnah ialah Ibn Hazam al-Zahiri.
(nukilan dari kitab Syarh Sahih Muslim: Jilid 4-6, hal. 237). Maksud yang sama dihuraikan oleh Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam kitabnya Fath al-Bari (Bab al-Zikr Ba’d al-Solah, Jilid 2, hal. 260).
No comments:
Post a Comment